Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan kedatangan pelancong China ke Malaysia masih rendah walaupun kejadian kehilangan MH370 sudah lebih setahun.

Situasi ini dijangka pulih sekiranya MH370 ditemui bagi membolehkan rakyat China menerima hakikat ia adalah pengakhiran kepada misteri kehilangan pesawat itu.

Menurut beliau, pelancong dari China masih keberatan untuk melawat Malaysia sehingga misteri kehilangan pesawat MH370 itu dapat diselesaikan.

"Masih terjejas kerana sekiranya tiada penutupan tragedi itu, pelancong China akan keberatan untuk datang dan itu sebab kita memberi pemansuhan visa untuk menarik mereka datang ke Malaysia kerana ia masih menjejaskan pelancong ke negara ini," katanya pada Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan 2015 di Muzium Negara di sini, hari ini.

BACA: Kejatuhan nilai ringgit baik bagi industri pelancongan negara - Nazri Aziz

Pesawat boeing 777 yang hilang dari radar membawa 152 penumpang warga China daripada 227 penumpang dan 12 anak kapal selepas berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 8 Mac tahun lalu.