Jumlah pelancong yang berkunjung ke negeri ini meningkat kepada 17.02 juta tahun lepas berbanding 16.79 juta pada 2017, menunjukkan lonjakan sekitar 1.34 peratus, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata angka itu mencapai sasaran kedatangan 17 juta pelancongan tahun depan dan lonjakan itu sangat menggalakkan bagi Melaka yang menyasarkan 20 juta pelancong tahun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2019.

"Pelancong domestik kekal sebagai penyumbang terbesar iaitu seramai 11.33 juta berbanding pelancong asing 5.68 juta. Lima negara yang merupakan pasaran pelancong asing terbesar ialah China (31.15 peratus), Singapura (27.98 peratus), Indonesia (14.30 peratus), Taiwan (2.49 peratus) dan Vietnam (2.11 peratus).

"Semua pihak terlibat dalam industri pelancongan Melaka perlu menjalin kerjasama dalam merancakkan lagi pembangunan industri berkenaan selain menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini," katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus menggiatkan promosi pelancongan dengan berfokus kepada 13 subsektor pelancongan negeri itu termasuk sejarah, budaya, sukan, kesihatan, agropelancongan dan ekopelancongan, serta mempromosi produk pelancongan secara spesifik.

Adly berkata pihaknya kini sedang membuat penilaian semula terhadap Bahagian Promosi Pelancongan dalam tempoh dua bulan ini dalam usaha menambah baik kaedah promosi pelancongan negeri ini.

"Kita akan mendapatkan maklumat semua pihak mengenai kaedah promosi yang sedang dilaksanakan membabitkan promosi antarabangsa dan tempatan, bagi memasarkan produk sedia ada di samping menyusun semula semua produk pelancongan di Melaka termasuk sektor makanan dan perubatan tradisional berikutan masing-masing memiliki pasaran sendiri," katanya.

Beliau berkata salah satu produk pelancongan yang sedang diusahakan pihaknya ialah pembinaan chalet terapung dalam usaha menarik lebih ramai pelancong terutama dari China agar mereka tinggal di Melaka dalam tempoh lebih lama.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri menetapkan hanya kawasan seluas 200 hektar di hutan simpan kekal di negeri ini dibenarkan bagi aktiviti pengeluaran pasir dan batu untuk menampung keperluan pembangunan dalam sektor pembinaan dan perumahan.

Beliau berkata kerja-kerja itu hanya diberikan di kawasan tersebut dan kelulusan itu mengikut Seksyen 28 Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh negeri ini melalui Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakai) 1985.

"Kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang pembukaan kawasan baharu untuk kerja-kerja mengambil pasir atau batu malah bayaran Ses Pembangunan Hutan yang dikenakan untuk Kumpulan Wang Pembangunan Hutan juga telah dinaikkan kepada RM3 setiap meter padu berbanding RM1 sebelum ini," katanya.

Beliau berkata Perbadanan Ketua Menteri (CMI) diberikan hak eksklusif bagi menjalankan kerja-kerja mengeluar, memproses, mengalih, menyimpan, menjual bahan batuan (pasir), menjalankan kerja-kerja memindah dan mengeluarkan bahan batuan (pasir) di atas Rizab HSK sehingga 31 Dis 2025.