Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengatakan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir masih mendiami kediaman rasmi di Jalan Raja Di-Hilir di sini.

Beliau turut menafikan bahawa Zambry enggan keluar daripada kediaman tersebut.

Ahmad Faizal berkata proses mengosongkan kediaman rasmi dilakukan Zambry mengikut peruntukan undang-undang dan berjalan dalam keadaan lancar.

Ia tidak seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial, katanya.

“Apa yang tular itu tidak tepat, saya tidak berapa pasti apa kandungan berita itu. Yang pasti, kita adalah negara demokrasi tetapi tidaklah seperti di Barat, kita tidak begitu menekan,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima sumbangan RM3.5 juta untuk Tabung Harapan Malaysia daripada syarikat dan individu persendirian di pejabatnya.

Ahmad Faizal bagaimanapun menambah, atas sebab tertentu, beliau masih belum dapat berpindah ke kediaman rasmi tersebut.

“Saya masih tidak dapat berpindah kerana ada beberapa perkara yang perlu dilakukan di rumah tersebut.

"Bukan pengubahsuaian besar, cuma terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan kepada sistem paip di rumah itu," katanya.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui secara terperinci mengenai pentadbiran di negeri lain namun tiada sebarang unsur paksaan yang diamalkan kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan.

“Peralihan kuasa berjalan dengan begitu baik. Saya tidak ada masalah. Dan saya harap perkara ini tidak dipanjangkan kerana ia tidak sihat untuk pembinaan negara,” ujarnya lagi.

Semalam, Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad mengesahkan Zambry telah mengosongkan kediaman rasmi dalam tempoh 10 hari, yang mana lebih awal daripada tempoh tiga bulan yang diberikan kepadanya untuk berbuat demikian.