Kementerian Luar telah mengarahkan Kedutaan Malaysia di Filipina untuk bekerjasama dengan Kelab Putera 1Malaysia bagi membawa balik tiga lagi mangsa culik warga Malaysia yang diselamatkan oleh pihak keselamatan Filipina.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar mengesahkan Jumadil Rahim, 24; Mohd Ridzuan Ismail, 33 dan Fandy Bakran, 27 diselamatkan menerusi operasi 'Full Force Military' di Punay (Poblacion) Panglima Estino, Sulu tengah malam Ahad.

Ketiga-tiga mereka dihantar ke pusat perubatan tempatan di Filipina bagi pemeriksaan kesihatan lanjut, demikian menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Filipina atas usaha menyelamatkan mangsa culik terbabit.

Tiga nelayan berkenaan merupakan antara lima rakyat Malaysia kru kapal tunda Serudong 3 yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai tahun lalu.

BACA: Tiga mangsa culik warganegara Malaysia diselamatkan di Filipina

Pada Khamis lalu, Abdul Rahim Summas, 63 dan Tayudin Anjut, 45 telah diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di perairan Pulau Pata di Sulu.

Abdul Rahim dan Tayudin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada Ahad malam dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

-- BERNAMA