Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyita 47 mesin permainan judi elektronik dalam serbuan di dua premis berasingan di Bandar Sunway dan Serdang Perdana di sini awal pagi tadi.

Pemeriksaan MPSJ mendapati kegiatan perjudian elektronik itu beroperasi dengan berselindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga bagi mengabui pihak berkuasa.

Serbuan oleh 47 anggota MPSJ itu telah menyita 40 unit komputer dan enam unit mesin permainan elektronik di Bandar Sunway sekitar jam 12 tengah malam Jumaat.

Ketua Pegawai Komunikasi Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata serbuan dilakukan berikuatan aduan orang ramai serta risikan anggota penguat kuasa sejak beberapa minggu lalu.

Serbuan oleh 47 anggota MPSJ itu telah menyita 40 unit komputer dan enam unit mesin permainan elektronik di Bandar Sunway sekitar jam 12 tengah malam Jumaat.
Jelasnya, maklumat awal mendapati pelbagai aktiviti telah dilakukan di dalam premis ini tanpa mempunyai lesen hiburan yang sah.

"Premis itu memang tidak berlesen, selain tidak berlesen kita mendapati juga ia terlibat dengan aktiviti yang tidak dibenarkan dan macam tadi kita tengok terdapat judi atas talian, ada karaoke dan sebagainya," katanya selepas menyertai operasi judi haram di sini.

Manakala dalam serbuan kedua, seramai 16 GRO warga asing ditahan kerana tiada dokumen perjalanan dan telah diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.

Seramai 16 GRO warga asing ditahan kerana tiada dokumen perjalanan.
Menurut Muhammad Azli, premis hiburan ini sudah diserbu beberapa kali namun pengusaha premis masih bersikap degil.

"Kalau tak silap tempat ini sudah beroperasi selama enam tahun dan dalam operasi dua minggu lalu kita telah menyerbu premis sama.

"Premis ini tidak pernah serik lagi dan kita tidak akan berputus asa untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap lokasi berkenaan", katanya di sini.

Pengusaha dua premis hiburan itu akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6 (1), Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Selangor 1995 (Pindaan 2001) yang boleh dikompaun RM25,000 kerana gagal memiliki lesen hiburan.