Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, kesediaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadir pada Kongres Maruah Melayu (KMM), Ahad ini bukan satu isu yang perlu diperbesarkan.

Waytha Moorthy yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata, sebagai ketua negara, Dr Mahathir hanya mahu berucap kepada komuniti Melayu dan itu bukan satu masalah.

"Itu okey, tidak ada masalah untuk Perdana Menteri hadir ke kongres itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penghayatan Rukun Negara, di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat pemimpin parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan penyertaan Dr Mahathir di Kongres itu tidak sesuai memandangkan beliau Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Kongres anjuran empat universiti awam, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan akan hadir ke kongres itu.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana memutuskan untuk mengekalkan beliau sebagai menteri Kabinet susulan keputusan inkues kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim baru-baru ini.

Menyatakan Perdana Menteri lebih mengetahui berhubung keputusan itu, Waytha Moorthy berkata: "Lantikan saya adalah ikut budi bicara Perdana Menteri dan Perdana Menteri telah sebut, maka tidak perlu saya huraikan lagi."

BACA: "Saya boleh simpan Waytha Moorthy sebagai menteri" - Tun M

Walaupun terdapat desakan supaya dipecat, Dr Mahathir hari ini berkata, Waytha Moorthy kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada Januari lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian Muhammad Adib susulan terdapat desakan yang mahu menteri itu dipecat.

Mahkamah Koroner, Shah Alam pada 27 September lepas memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 Nov tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Muhammad Adib, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Dis lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

Mengenai keputusan inkues Muhammad Adib itu, Waytha Moorthy berkata beliau berpuas hati dan menerima keputusan itu sepertimana diputuskan mahkamah. - BERNAMA