Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui terdapat unsur kecuaian dalam kalangan anggotanya yang bertugas mengawal Datuk Seri Jamal Md Yunos di Hospital Ampang Puteri (KPJ Health) sehingga beliau berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

"Kita nampak ada unsur-unsur kecuaian dalam penugasan tersebut dan akan ambil tindakan sewajarnya," katanya ketika dihubungi.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini melahirkan rasa kesal atas kecuaian pihak berkuasa sehingga menyebabkan Jamal boleh lari dari hospital.

BACA: Aksi hilang hanya satu salah faham

BACA: Jamal Yunos sembunyi di ladang kelapa sawit


Pada 1 Jun lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Waran dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

BACA: Polis akan cari Jamal sampai ke lubang cacing

BACA: Jamal Yunos loloskan diri ke Indonesia?

Mengulas lanjut, Mazlan memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk membantu mengesan Jamal.

"Kita mengharapkan dapat mengesan Jamal dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, ada seorang individu yang menawarkan ganjaran RM10,000 kepada mereka yang mempunyai maklumat persembunyian Jamal.