Tiada pelajar Malaysia terlibat dalam kejadian tembakan berhampiran Michigan State University (MSU) di East Lansing, Michigan, Amerika Syarikat, semalam.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata Education Malaysia (EM) Chicago telah berhubung dengan Persatuan Penuntut-Penuntut Malaysia MSU dan telah memberi nasihat mengenai aspek keselamatan.

"EM Chicago juga sedang memantau perkembangan susulan kejadian itu dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," kata kementerian itu.

Menurut laporan media, seorang pelajar MSU berusia 22 tahun yang berasal dari Texas, telah ditembak mati dalam pergaduhan di sebuah kompleks pangsapuri pelajar luar kampus.

Kompleks pangsapuri itu terletak kira-kira tiga kilometer di utara kampus MSU.

-- BERNAMA