Guru diperingkat sekolah rendah dan menengah menggalas tanggungjawab yang besar dalam membentuk generasi akan datang.

Apatah lagi guru dalam bidang pendidikan Islam, amanah agama itu juga perlu dijaga sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin berkata fokus kerajaan negeri kini antaranya meningkatkan profesionalisme pendidik anak bangsa itu.

"Kita diperingkat kerajaan negeri Selangor komited dalam meningkatkan profesionalisme keguruan, selaras dengan kehendak zaman ini.

"Guru perlu diberi latihan berterusan agar mampu menyampaikan ilmu dengan lebih efektif dan kita akan memikirkan apakah langkah dan strategi yang boleh diambil berkaitan dengan isu ini.

"Kita akan memberi fokus dan keutamaan kepada guru dalam mendapatkan latihan dalam penyampaian ilmu," jelasnya pada majlis Anugerah Kualiti Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Selangor 2018 di Shah Alam pada Rabu.

Jelasnya dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan kini telah membuatkan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Justeru bagi memastikan pelajar dapat mengekalkan identiti, pendidikan Islam mempunyai peranan yang penting dalam jati diri mereka.

"Guru perlu mengambil peluang yang tersedia ada di internet seperti YouTube, aplikasi al-Quran, Hadith, doa dan banyak lagi.

"Setiap aplikasi ini boleh digunakan dalam sesi pembelajaran kerana ia sudah tentu akan menarik minat pelajar dalam menghayati ajaran Islam," jelasnya.