Sepasang kekasih yang terlibat dalam kegiatan samun di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), di sini berjaya ditahan polis di Pusat Perniagaan Juru Jaya semalam ketika mereka sedang mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata pasangan berusia 28 dan 30 tahun itu ditahan bersama sebuah motosikal jenis Honda Waze oleh polis yang menjalankan Ops Pencegahan Jenayah di kawasan berkenaan kira-kira pukul 10 malam.

"Polis menahan mereka yang sedang menaiki motosikal itu selepas mendapati berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan awal kami menemui sebilah pisau lipat bersama pasangan berkenaan. Ia dipercayai digunakan untuk kegiatan samun.

"Mereka mengaku terlibat lebih 10 kes samun di sekitar SPT sejak beberapa bulan lepas dan terbaru pada Khamis lalu di kawasan Perda membabitkan seorang wanita yang baru balik bekerja sekitar jam 11 malam," katanya di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati motosikal yang digunakan pasangan itu dicuri di kawasan Bukit Mertajam baru-baru ini. Mereka juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah.

Pasangan itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata seorang lelaki tergamak memecah masuk sebuah rumah milik seorang pesara tentera ketika warga emas itu keluar untuk solat Jumaat di Mukim 20 Kubang Semang, di sini pada Jumaat.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, lelaki yang berusia 50 tahun bertindak mengumpil pintu belakang rumah selepas mangsa keluar dari rumah 20 minit sebelum itu.

"Mangsa yang pulang dari masjid kira-kira pukul 2.40 petang menyedari rumahnya berselerak dan beberapa barangan antaranya dua unit telefon bimbit dan wang tunai RM200 miliknya hilang.

"Berdasarkan maklumat, polis menyerbu rumah suspek di Mengkuang Titi dan menahan lelaki itu sebelum menemukan beberapa barangan milik mangsa iaitu telefon bimbit, wang tunai RM120 dan sebuah kotak bersama dua pingat tentera," katanya.

Beliau berkata polis juga menemukan dadah jenis heroin seberat 3.5 gram dari lelaki itu yang juga positif morfin dan suspek kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -- Bernama