Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu berkata semua pihak yang terlibat bagi menyelesaikan isu Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, tidak sepatutnya mempertahankan kaum atau agama masing-masing sahaja tetapi berpegang teguh kepada prinsip keadilan sejagat.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata kebijaksanaan para pemimpin di semua peringkat amat diperlukan dalam menangani sentimen perkauman dan agama bagi mengelakkan menjadi krisis berpanjangan.

"Pihak yang terlibat harus terima dan dapat maklumat yang benar mengenai apa yang berlaku supaya dapat diselesaikan dengan baik.

"Keputusan akhir yang dibuat mesti dihormati sama ada dalam kalangan pihak yang setuju atau sebaliknya.

"Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat adalah jauh lebih penting, jangan izinkan negara ini tercemar dengan sensitiviti antara kaum sehingga ia terus berkembang," katanya dalam ucapan pada Majlis Jamuan Muhibbah Deepavali dan perasmian Dewan Majestic di sini.

Beliau mengulas mengenai insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman itu awal minggu ini sehingga menyebabkan penjawat awam cedera.

Anwar berkata keganasan tidak sepatutnya dijadikan kaedah untuk menyelesaikan apa jua isu yang berbangkit dan dalam hal ini setiap lapisan masyarakat mesti memberi sokongan padu kepada pasukan keselamatan melaksanakan tugas tanpa diganggu bagi memelihara keamanan dalam masyarakat.

"Jangan benarkan tolak ansur terhadap dalang yang melakukan keganasan. Saya tidak peduli jika yang terlibat adalah Melayu, Cina atau India," katanya.