Susulan hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac, Prasarana Malaysia Berhad mendapati jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam berkurangan secara ketara.

Bagaimanapun perkhidmatan Rapid Bus masih beroperasi bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang tetap bekerja bagi perkhidmatan-perkhidmatan penting sepanjang tempoh kawalan ini.

"Pengamatan kami sejak Rabu mendapati jumlah penumpang secara keseluruhannya telah menurun sebanyak 66 peratus.

"Bagi Rapid KL penurunan adalah sehingga 65.1 peratus, Rapid Penang 50.8 peratus, Perantara MRT sebanyak 75.7 peratus, Rapid Kuantan 62 peratus dan BRT Laluan Sunway sehingga 79.5 peratus, " kata Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikutan itu, katanya bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 terhadap pelanggan dan kakitangan, Rapid Bus akan menyusun semula kekerapan perkhidmatan bas bagi Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Manjung, Rapid Kamunting dan BRT Laluan Sunway.

Penurunan kekerapan perkhidmatan berdasarkan permintaan (based on demand) secara berperingkat akan bermula pada 21 Mac 2020 sehingga diumumkan kelak.

Di dalam masa itu Rapid Bus memaklumkan akan sentiasa memantau permintaan dan menasihati pelanggan-pelanggan mengenai sebarang perubahan.

Tambahnya, Rapid Bus juga telah mengambil initiatif tambahan untuk menggalakkan para pelanggan supaya merancang perjalanan.