Kelantan muncul sebagai negeri yang paling ramai mencatatkan rekod pernikahan bawah umur berbanding negeri-negeri lain.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, sebanyak 135 kes pernikahan bawah umur dalam kalangan umat Islam direkodkan di Kelantan sepanjang 2018 daripada 841 kes yang dicatatkan di seluruh negara.

"Memandangkan statistik menunjukkan Kelantan negeri yang paling ramai kes perkahwinan bawah umur pada 2018 dengan 135 kes jadi saya kira ke hadapan ada banyak perkara yang perlu dilakukan, perlu mencegah, perlu juga ada undang-undang supaya ianya (perkahwinan bawah umur) tak mudah," kata Fuziah dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Fuziah sebelum itu merasmikan Persidangan Perkahwinan Bawah Umur: Antara Harapan dan Realiti.

Kerajaan Kelantan sebelum ini memaklumkan tidak akan menaikkan had umur perkahwinan.

Negeri itu masih mengekalkan had umur pernikahan bagi wanita ialah 16 tahun manakala 18 tahun bagi lelaki.

Menyentuh mengenai perkara tersebut, Fuziah berkata, Perlembagaan Malaysia memberikan kuasa menentukan had umur perkahwinan di bawah bidang kuasa negeri.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dan mahkamah syariah negeri khasnya boleh memperketatkan permohonan pernikahan bawah umur.

Hakim Mahkamah Syariah perlu meneliti permohonan pernikahan bawah 18 tahun itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan.