Kerajaan Kelantan menyokong keputusan kerajaan Persekutuan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, bagaimanapun, garis panduan PKPB yang diumumkan perlu diperhalusi.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan teliti dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (KHAS) peringkat negeri Khamis nanti.

"Sehingga keputusan dibuat dalam jawatankuasa tersebut, semua ketetapan yang dibuat sebelum ini masih terpakai dan perlu dipatuhi semua pihak.

"Syukur kepada Allah kerana pada masa ini, Kelantan masih kekal zon hijau sejak lebih dua minggu lalu dan tiada ada lagi pesakit COVID-19 yang dirawat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, segala tindakan, bagaimanapun perlu dilakukan berhati-hati supaya keadaan ini dikekalkan bagi menjamin kemaslahatan rakyat.

"Kemaslahatan rakyat adalah merupakan keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan," katanya lagi.