Kerajaan Pas Kelantan tidak berhasrat membuka panggung wayang di negeri ini bagi mengelakkan berlaku masalah sosial.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri bagi membincangkan isu berkenaan secara terperinci.

“Hari ini majlis mesyuarat Kelantan bebincang dengan terperinci mengenai masalah pawagam. Kita sudah tiada pawagam selama 30 tahun dan tiada apa masalah kerana banyak sumber sekiranya mahu tengok cerita.

“Kita boleh mengenakan syarat ketat kepada pawagam namun, jika kita buka ruang, penguatkuasaaan terhadap pelanggaran syarat juga akan berdepan masalah dan perkara itu perlu diambil kira.

“Perkara kedua, kita juga boleh kawal dalam pawagam, namun masa anak-anak keluar dan akan pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam itu akan banyak mengundang masalah gejala sosial" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Hasrat kerajaan Kelantan seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menyasarkan untuk mengurangkan gejala sosial menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membenarkan pembukaan pawagam di seluruh Kelantan.

Pada Selasa, Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mencadangkan kerajaan negeri supaya membenarkan pembukaan pawagam patuh syariah di negeri ini selepas operasinya dihentikan kira-kira 20 tahun lalu.

Katanya, setiap hujung minggu, ramai rakyat negeri ini ke Terengganu semata-mata untuk menonton wayang.

BACA: Adun BN minta Pas buka panggung wayang di Kelantan