Kerajaan Kelantan mewartakan kawasan seluas 1,644 hektar sebagai zon penempatan dan pertanian masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia melibatkan lapan kawasan perkampungan atau pos Orang Asli di Gua Musang dan sebuah di Jeli.

Kampung di Gua Musang ialah; Pos Jedip, Pos Belau, Kuala Wu, Kuala Lah, Kampung Mengrod, Kampung Perluk dan Kampung Tuel, Kampung Galang dan Kampung Kelait manakala di Jeli, Kampung Sungai Rual.

"Pewartaan kawasan ini adalah hasil cadangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). Ada beberapa cadangan lain yang dikemukakan Jakoa, namun belum dapat dilaksanakan kerana beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat dan Integriti negeri menjawab soalan Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri) mengenai sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk mewartakan tanah-tanah penempatan masyarakat Orang Asli di Kelantan secara tersusun dan sistematik.

Katanya, pewartaan tersebut turut mengambil kira kepentingan generasi kedua dan ketiga masyarakat Orang Asli.

"Orang Asli ada hak tersendiri dan kajian kita mendapati mereka memerlukan dua perkara penting iaitu penempatan dan kawasan bercucuk tanam," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai sama ada pewartaan tanah tersebut turut membabitkan generasi kedua dan ketiga masyarakat Orang Asli.

-- BERNAMA