Kelapa sawit: Kesatuan Eropah hipokrit, penjajah alaf baru - Tun Mahathir

Kelapa sawit: Kesatuan Eropah hipokrit, penjajah alaf baru - Tun Mahathir
TUN MAHATHIR: -Jika Eropah amat gusar dengan impak ke atas alam sekitar hasil tanaman sawit, mengapa mereka menandatangani perjanjian perdagangan dengan Amerika Selatan?" - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sikap Kesatuan Eropah (EU) yang mengharamkan penggunaan bahan bakar biofuel berasaskan sawit di negara-negara anggotannya termasuk Britain, adalah satu bentuk pembulian dan disifatkan penjajahan alaf baru.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam penulisan yang disiarkan oleh Bloomberg pada Isnin, tindakan Parlimen Eropah mengharamkan minyak sawit hanyalah untuk melindungi industri pertanian di sana dan bukan disebabkan oleh kesedaran alam sekitar seperti didakwa.

“Sikap hipokrit sebegini adalah penjajahan alaf baru yang tidak ada tempat di dunia. Dengan menggunakan dagangan sebagai senjata, EU sebenarnya melakukan buli ke atas rantau miskin di dunia ini,” kata Perdana Menteri.

Pada 2017, Parlimen Eropah meluluskan resolusi untuk mengurangkan sebelum mengharamkan semua biofuel yang dihasilkan menggunakan asas sawit sekaligus menjejaskan pengeluar utama iaitu Malaysia dan Indonesia.

Tindakan Eropah itu dibuat atas dakwaan penanaman sawit adalah tidak mampan dan memusnahkan hutan.

“Jika Eropah amat gusar dengan impak ke atas alam sekitar hasil tanaman sawit, mengapa mereka menandatangani perjanjian perdagangan dengan Amerika Selatan?

"Penghasilan daging di sana merangkumi sejumlah besar aspek pertanian yang melibatkan pemusnahan hutan yang jauh lebih teruk dari pembebasan gas karbon dioksida oleh penanaman sawit,” kata beliau lagi.

Mahathir berkata Eropah menghasilkan minyak dari sumber bijian yang jauh lebih tidak efisien dan menggunakan tanah hutan lebih luas berbanding sawit sehingga diberi amaran oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Konservasi Alam Sekitar.

“EU juga dengan sengaja tidak mengendahkan perkembangan negara pengeluar sawit dalam memperkenalkan mekanisma pensijilan untuk pengeluaran sawit mampan.

“Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sudah diadaptasi beberapa buah negara,” katanya sambil menambah Malaysia tidak akan mengabaikan aspek pemusahan hutan dan kemampanan alam sekitar dalam setiap keputusan dagangan.

“Jawapan kepada kegusaran alam sekitar adalah bukannya dengan mengharamkan satu jenis komoditi. Ini hanya akan membolehkan EU menggunakan ia sebagai alasan untuk menyalahkan negara Asia Pasifik walaupun rantau itu menggunakan pengeluaran daging yang banyak melibatkan penebangan hutan," tambah beliau.

Mahathir berkata apa yang diperlukan kini adalah dialog berkait industri sawit dan mencapai penyelesaian bersama termasuk perundangan lebih baik dan piawaian pensijilan bersepadu.

Sehubungan itu Mahathir berkata ini masa sesuai  untuk United Kingdom (UK) mengukuhkan kerjasama dengan rantau Asia Pasifik terutama melibatkan sektor sawit selepas ia berpisah dengan Kesatuan Eropah (EU) melalui Brexit kelak.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ini masa sesuai UK untuk merebut peluang perdagangan dan membebaskan diri dari karenah birokrasi dan sikap perlindungan Eropah. - Sumber Bloomberg


Tag: Mahathir Mohamad, EU, Brexit, Indonesia, Asia, United Kingdom, Perdana Menteri, Kesatuan Eropah, Malaysia, kelapa sawit, buli, penjajah alaf baru



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.