Kelewatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan senarai nama bagi lantikan ahli majlis di setiap daerah di Perak tidak menjejaskan gerak kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri Paul Yong Choo Kiong berkata proses lantikan dan angkat sumpah ahli majlis boleh dilakukan sedikit lewat berbanding yang lain sebaik ia dimuktamadkan pihak parti.

Menurutnya, selaku exco bertanggungjawab, pihaknya hanya menerima senarai nama bagi kuota empat parti kerajaan iaitu DAP, Bersatu, Amanah dan PKR sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk mendapat sokongan.

"Kemungkinan dalam hal ini PKR mungkin menghadapi masalah untuk memilih ahli majlis sendiri, walaupun lewat ia sama sekali tidak menjejaskan yang lain kerana sudah ada ketetapan kuota untuk mereka.

"Kita akan menyokong sebaik terima senarai daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah 18 ahli majlis PBT yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, hari ini.

Ahli majlis itu terdiri daripada 10 orang dari DAP serta empat orang masing-masing dari Amanah dan Bersatu.

Sementara itu, Yong berkata MBI turut memasang kira-kira 1,050 bendera dan 2,330 bendera jenis gegantung Jalur Gemilang di sekitar bandaraya Ipoh sempena sambutanHari Kebangsaan ke-62 tahun ini.

Terdahulu, Yong dalam ucapannya berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sering menjadi tumpuan masyarakat awam dalam menuntut perkhidmatan yang baik di kawasan penempatan masing-masing.


Kita akan menyokong sebaik terima senarai daripada mereka.


Katanya selain media massa, media sosial turut dijadikan sebagai medium penyampaian berkaitan pelbagai isu setempat sekali gus memberikan lebih banyak cabaran kepada PBT dalam melayani tuntutan masyarakat awam.

"Justeru, saya menyeru Ahli Majlis yang dilantik dan pihak pengurusan MBI agar sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menangani cabaran-cabaran dan tuntutan sosial dari masa ke semasa.

"Kerjasama PBT khususnya MBI dengan jabatan serta agensi lain juga amat penting dalam melaksanakan tugas-tugas dan fungsi majlis dengan lebih berkesan seterusnya dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA