Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memantau kawasan sekitar kunci air Sungai Renggam di Seksyen 17 di sini susulan menerima aduan daripada orang awam yang ternampak kelibat seekor buaya.

Pengarah Perhilitan Selangor, Haidar Khan Mokbolhassan berkata aduan berkenaan diterima secara rasmi menerusi talian 'hotline' jabatan itu sekitar pukul 2 petang Ahad namun gambar kelibat buaya berkenaan tular di media sosial komuniti setempat sejak dua hari lepas.

"Kami sentiasa menyemak aduan orang ramai sama ada melalui media sosial atau aduan rasmi. Sejak gambar kelibat reptilia berkenaan dikatakan diambil di kunci air Sungai Renggam di sini tular, kami telah pergi memantau kawasan tersebut beberapa kali.

"Bagaimanapun, tiada kelibat haiwan itu ditemukan pasukan kami. Buat masa ini, saya tidak boleh mengesahkan memang ada buaya atau tidak di kawasan tersebut dan orang ramai di sekitarnya tidak perlu gusar. Kami juga sedang menyiasat sama ada benarkah gambar buaya itu diambil di Sungai Renggam," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Namun katanya, disebabkan keadaan air Sungai Renggam yang meningkat sejak tiga hari lepas susulan hujan lebat, beliau tidak menolak kemungkinan ada buaya melolos masuk dan keluar di sungai tersebut apabila pintu kunci air itu dibuka.

Tambah Haidar Khan, Sungai Renggam merupakan jajaran anak sungai kepada Sungai Klang yang dipisahkan melalui kunci air tersebut dan tidak mustahil untuk buaya berada di kawasan itu memandangkan Sungai Klang diakui sebagai habitat kepada reptilia berkenaan.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya akan terus memantau kawasan tersebut terutama pada waktu kebiasaan buaya timbul di tebing untuk 'memanaskan' badan namun tiada keperluan untuk memasang perangkap di sungai berkenaan.

"Kami akan terus pantau lokasi ini demi keselamatan orang ramai dan juga kebajikan haiwan itu sendiri. Jika didapati buaya itu mengancam nyawa manusia, kita akan pasang perangkap, tapi jika dikatakan nampak kelibat saja, tidak perlu pasang perangkap kerana sungai memang habitat semulajadi reptilia itu," katanya.

-- BERNAMA