Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun di dalam tandas di sebuah surau di Ambangan Height, Sungai Petani 13 Disember lalu.

Tertuduh Mohd Nizam Yaakub, 31, berasal dari Kampung Haji Ngah, Bedong, membuat pengakuan di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen 2 Sungai Petani sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh badan seorang kanak-kanak di tandas Surau Al-Ikhlas Zon Mawar, Ambangan Height, Sungai Petani pada jam 3.30 petang.

Mengikut pertuduhan tertuduh didapati melakukan satu kesalahan dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum 20 tahun penjara dan sebat.

Hakim Precilia Hemamalini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Januari 2020 sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurul Husnah Omar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh ditangkap pada 23 Disember lalu selepas dia datang ke Balai Polis Bidong untuk menyerah diri sebelum mengaku telah melakukan jenayah cabul ke atas kanak-kanak perempuan terbabit seperti yang viral di media sosial.

BACA: Peluk dan raba kemaluan budak perempuan di surau, lelaki berkulit gelap diburu

BACA: Lelaki cabul kanak-kanak di tandas surau serah diri di balai polis
Sebelum ini polis telah melakukan dua serbuan di rumah suspek di Kampung Haji Ngah, Bedong bagaimanapun suspek tiada di rumah dipercayai melarikan diri sejak tersebar video viral perlakuannya itu.
Polis juga merampas sehelai baju warna biru gelap bertulis "KELUARGA" dipercayai dipakai semasa kejadian seperti dalam video.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Video perlakuan keji suspek berjaya dirakam Kamera Litar Tertutup (CCTV) Surau Al Ikhlas Zon Mawar, dekat Sungai Petani pada 13 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mangsa bersama sepupunya sedang bermain di taman permainan bersebelahan surau berkenaan.

Suspek dilihat bertindak memanggil mangsa ke tandas surau sebelum memeluk dan memegang kemaluan mangsa.

Susulan itu, mangsa bertindak memaklumkan kejadian kepada bapanya.

Ekoran itu bapa mangsa meminta bantuan pihak surau untuk memeriksa CCTV di surau terbabit.

Katanya, rakaman CCTV mendapati lelaki bertubuh sederhana dan berkulit gelap itu memberhentikan motosikal berdekatan tandas surau sebelum memanggil dan mencabul mangsa.

Beliau berkata, mangsa meronta dan berjaya melepaskan diri dan suspek kelihatan segera meninggalkan tempat kejadian.