Seorang kelindan putus kaki kiri manakala pemandunya cedera ringgan selepas lori yang dinaiki melanggar belakang sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 85 Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh pada pukul 6.00 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata, ketika kejadian lori yang membawa muatan ayam itu dalam perjalanan dari arah Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

"Pemandu lori itu dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk dan ketika kejadian keadaan jalan yang gelap telah menyebabkan lori dipandunya melanggar belakang sebuah treler dari arah yang sama.

"Rempuhan itu menyebabkan lori yang membawa muatan ayam berkenaan melintangi jalan itu sehingga aliran trafik terpaksa dilencongkan ke laluan lama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 22 dan 26 tahun itu dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

-- BERNAMA