Rakyat asing yang pas lawatan sosial mereka tamat tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa, dibenarkan terus menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh tamat PKPP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu diberi berikutan kerajaan menyedari masalah yang dihadapi mereka untuk memperbaharui dokumen itu.

Katanya, selain itu, bagi rakyat asing yang pas lawatan sosial tamat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula boleh ke pejabat Jabatan Imigresen yang terdekat untuk mendapatkan lanjutan tempoh.

"Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengambil maklum isu pas lawatan sosial yang tamat dalam tempoh PKP dan PKPP," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri memberitahu, PDRM melakukan 72 sekatan jalan raya di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.

"Dalam sekatan itu, PDRM memeriksa 38,501 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Katanya, sebanyak lapan warga asing ditahan atas kesalahan imigresen dalam sekatan itu.

"Ingin sekali lagi saya tegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara secara haram.

"Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan-kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus, ujarnya.