Kelonggaran penguatkuasaan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menjadi punca banyak ulat teksi dan kereta sapu beroperasi di kawasan berkenaan.

Selain itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Premier klia2, Rusli Sharif berkata, pertambahan 'ulat' berlaku kerana lebih banyak syarikat penerbangan dan penumpang menggunakan klia2 berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang berhenti operasinya pada Mei tahun lalu.

"Jumlah 'ulat' dan kereta sapu yang beroperasi di klia2 dianggarkan telah bertambah sekali ganda berbanding keadaan di LCCT sebelum ini.

"Saya menganggarkan jumlah 'ulat' di LCCT adalah antara 15 hingga 20 sahaja, tetapi kegiatan 'ulat' di klia2 lebih rancak iaitu antara 40 hingga 50 orang setiap hari," katanya yang dipetik dari laporan Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Rusli berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad bahawa 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk klia2 mengenakan tambang mencecah RM800 untuk perjalanan ke pusat bandar.

Rusli berkata, kegiatan 'ulat' masih aktif di klia2 walaupun SPAD dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) giat melakukan operasi.

Jelasnya, kemunculan 'ulat' dan kereta sapu memberi kesan kepada pendapatan pemandu teksi premier di klia2 yang kini terpaksa menunggu antara 18 hingga 20 jam untuk mendapat tiga pelanggan kerana persaingan yang sengit.

"Ketika beroperasi di LCCT, kami hanya perlu menunggu antara 12 hingga 14 jam untuk mendapat tiga pelanggan. Sebagai pemandu teksi lapangan terbang, kami memerlukan sekurang-kurangnya tiga perjalanan setiap hari untuk menyara hidup.

"Kami sebelum ini menjangkakan pemindahan ke klia2 akan menambahkan pendapatan, tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila kerajaan membenarkan operasi teksi bermeter di klia2 selain berdepan persaingan 'ulat'," katanya.