Pengamal media cetak dan elektronik hari ini harus segera bersaing dalam pembangunan dunia media digital dan keluar dari dunia kewartawan tradisional yang jumud, statik dan beku.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk menghadapi realiti media digital yang mengamalkan etika kewartawanan bebas serta tidak mengikut fakta.

"Dalam persaingan begini, etika kewartawanan mengikut teori komunikasi wartawan digital yang terlepas dari etika kewartawanan bebas melepaskan serta melempar fakta yang bukan depan mata tetapi berdasarkan imaginasi.

"Walaupun ia bukan mutlak tapi kewartawanan itu mengizinkan ia berlaku, ia bukan ada di dalam perundangan tapi fenomena yang harus diterima semua. Ia satu cabaran besar yang mendepani semua.

"Dalam soal inilah persaingan ini dilihat perspektif sihat atau sebaliknya, media tradisional kini mendigitalkan dengan meletakkan alternatif media atas talian sebagai jawapan dengan keluasan audience dengan rata-rata daripada generasi Y dan Z," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2016 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (HKM MPI) Petronas 2015 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Telekomunikasi, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid mengumumkan penambahan dana daripada RM200,000 kepada RM500,000 oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia kepada MPI bagi membolehkan institut itu membuat kajian dan wacana ilmu bagi mendigitalkan pemikiran, tulisan dan pendekatan untuk menerobos keluar daripada situasi konvensional.

Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, generasi Y dan Z lebih mempercayai berita yang tidak sahih di media sosial berbanding di media cetak dan elektronik kerana beranggapan ia lebih telus.

"Media sebegini langsung tidak mempunyai kredibiliti. Inilah cabaran besar yang menyelubungi dunia kewartawanan pada masa kini kerana mereka tidak terikat dengan mana-mana etika lantaran kerajaan mengamalkan dasar terbuka mengenai akta dan undang-undang media.

"Generasi masa kini lebih menerima pemikiran kontra kerana menyangka ia mempinyai kredibiliti melalui kajian dan analisis.

"Ia berlaku kerana budaya kebencian yang telah lama disuntik terlalu lama dan merupakan cabaran yang harus dihadapi melalui era pendigitalan," jelasnya.

Wartawan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim dan Aliza Shah Muhammad Shah diumumkan pemenang Hadiah Kajai 2015 dan membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM30,000, trofi serta sijil.

Sementara jurugambar Astro AWANI, Muhammad Shahir Omar memenangi hadiah saguhati untuk kategori foto esei cemerlang dan membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM1,000, trofi serta sijil.