Keluarga warga tempatan, Yuan Kuok Wern yang maut dalam insiden tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik setinggi 50 tingkat di Tanjung Bungah, di sini masih belum memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap mana-mana pihak.

Jurucakap yang juga rakan rapat keluarga mangsa, David Giam berkata, ketika ini keluarga Yuan hanya mahu menyelesaikan urusan pengebumian anak sulung mereka secepat mungkin.

Menurutnya, keluarga itu masih bersedih dengan kejadian itu memandangkan mangsa ialah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga tersebut.

"Keluarga masih belum memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak. Sekarang keluarga Yuan mahu menyempurnakan urusan pengebumian penyelia tapak projek berkenaan secepat mungkin," katanya kepada media sewaktu ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital pulau Pinang pada Isnin.

Mayat penyelia berkenaan ditemukan pada jam 7.03 pagi Isnin dalam kejadian berkenaan yang turut mengorbankan 10 orang pekerja warga asing.

David berkata, mayat Yuan akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Sungai Ara, di sini selepas bedah siasat selesai manakala upacara pengkebumikan dijangka diadakan Jumaat ini.

Dalam pada itu, keluarganya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi yang terbabit dalam gerakan mencari dan menyelamat kesemua mangsa.

Dalam kejadian 8.57 pagi Sabtu lalu, semua 11 mangsa sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang dalam pembinaan itu, apabila lereng bukit itu runtuh dan menimbus mereka.