Tiga sekeluarga di Kampung Piasau di sini, yang hanya mampu tinggal di sebuah pondok dalam kebun akibat kemiskinan hidup selama ini, kini mampu mengukir senyuman apabila mendapat pembelaan Kerajaan Negeri.

Leo Micheal Martin, 41 tahun, mendedahkan dia dan isterinya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) lembam, Erina Binikon, 20 tahun, terpaksa berteduh di pondok itu sejak empat bulan lalu.

Lebih memeritkan, kesusahan itu turut dikongsikan bersama anak tunggal mereka, Emanuel, berusia dua tahun.

Ketika ditemui, Leo Micheal menjelaskan dia terpaksa tinggal di pondok kebun milik salah seorang daripada adik-beradiknya di kampung itu.

Sebelum ini, mereka sekeluarga menumpang kasih tinggal di rumah ahli keluarga, namun enggan terus menyusahkan orang lain, mereka berpindah ke pondok itu.

"Di sini, kami jaga kebun abang saya. Kalau boleh tanam sayur, kami tanamlah. Tetapi, masalah sekarang ini, keadaan saya kurang sihat. Jadi, terpaksa hidup dalam keadaan begini," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Leo Micheal berkata, sebelum ini, mereka sekeluarga makan ala kadar bergantung kepada pendapatan menjaga kebun tersebut selain bergantung kepada bantuan kebajikan.

Terdahulu, nasib keluarga daif itu mendapat perhatian Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.

Beliau turut mengarahkan supaya sebuah pembinaan rumah jenis kos rendah dibina segera di tanah yang berkenaan untuk diberikan kepada keluarga Leo Micheal dalam tempoh 60 hari.

"Saya meluluskan rumah baharu untuk keluarga ini agar mereka dapat mempunyai sebuah rumah. Sebab, rumah ini tidak sesuai didiami.

"Ini bersesuaian dengan dasar kerajaan baru untuk kesemarataan. Semua bangsa kita bantu. Tidak kira mereka ini daripada bangsa apa, agama apa," katanya.