Program Pemeliharaan Berasaskan Keluarga, ataupun deinstitutionalisation mahu menjadikan institusi kebajikan sebagai jalan terakhir bagi kanak-kanak yang ditempatkan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim berkata, keluarga akan diberi keutamaan bagi penempatan itu dan ia bakal memberi peluang pembangunan kanak-kanak yang sihat dan menyeluruh.

Katanya, program perintis ini sudah dilaksanakan pada 2013 di dua pusat pemeliharaan iaitu di Kuala Langat dan Petaling Jaya, melibatkan 209 kanak-kanak.

“Kami tidak galakkan kanak-kanak itu dimasukkan ke dalam institusi, tetapi akan memberikan pilihan untuk bersama keluarga dahulu, tidak kira keluarga dekat atau jauh.

"Selepas itu, kita pilih jiran, saudara mara dan keluarga angkat; dan institusi menjadi pilihan terakhir bagi kanak-kanak tersebut,” kata Rohani pada satu sidang media sempena Forum Global Kanak-Kanak di sini pada Khamis.

Tambahnya, kanak-kanak di institusi kebajikan dilihat berdepan pelbagai masalah kerana kekurangan kasih sayang dan beliau mahu melihat kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran kekeluargaan.

Menurut Rohani, susulan kelulusan pindaan rang undang-undang, Akta Kanak-Kanak 2015 pada peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Rabu, ia akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Setakat ini, nisbah pegawai JKM kepada kanak-kanak adalah 1:20 dan selepas kelulusan akta ini, lebih ramai pihak boleh dilantik untuk terlibat dalam program ini.

Jelasnya, program yang diperkenalkan dalam negara sejak dua tahun lalu juga adalah tepat dengan piawaian antarabangsa dan sudah diguna pakai di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia.