Keluarga guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, yang hilang sejak empat bulan lepas sudah boleh menerima kehilangannya.

Namun, di sudut hati masih tersemat harapan agar si ibu akhirnya kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Suami mangsa, Ruzilan Omar, 58, berkata beliau serta anak-anaknya tidak pernah putus berdoa supaya Jashiah ditemui.

"Saya amat sunyi tanpa dia (Jashiah) di rumah, apabila tinggal berseorangan kerana anak-anak tidak menetap bersama saya.

"Mereka melanjutkan pelajaran di negeri lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

BACA: Guru Besar hilang ketuk pintu rumah Orang Asli minta makanan - Anak

BACA: Guru Besar hilang: Apa yang kita tahu setakat ini?

BACA: Suami Jashiah yakin isteri masih selamat

Beliau berkata kesemua empat anaknya sudah boleh menerima kenyataan mengenai kehilangan itu, namun anak bongsunya, perempuan, yang paling rapat dengan Jashiah terus mengharapkan kepulangan ibunya.
Anak gadis itu bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Saya berharap ibunya pulang segera dan akan menjadi penyuntik semangat baginya menduduki peperiksaan," kata bekas anggota tentera itu.

Ruzilan berkata beliau sentiasa berhubung dengan pegawai penyiasat polis bagi mengetahui perkembangan kes berkenaan.

BACA: Tiada petunjuk baharu, usaha mencari Jashiah Rabu temu jalan buntu

BACA: Misteri kehilangan Jashiah: Keluarga merindui, bersolat hajat

BACA: Polis guna alat pengesan haba cari guru besar Jashiah Rabu

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam berkata pihaknya masih tidak menemui sebarang petunjuk baharu, namun siasatan kes diteruskan walaupun operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan pada 10 Nov lepas.

"Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya melaporkan kepada balai polis berdekatan," katanya.

Ditanya tentang kemungkinan Jashiah diculik, Supramaniam menafikannya kerana tidak nampak sebarang motif.

Kes tetap diklasifikasikan sebagai kes orang hilang, katanya.

Jashiah kali terakhir dilihat jiran keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling, Kuala Kubu Bharu pada 23 Okt lepas.

Dia dikatakan menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu dengan berjalan kaki dan menumpang sebuah kereta.