Biarpun serpihan yang ditemui di Pulau Reunion disahkan milik penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, namun ahli keluarga kru dan penumpang pesawat malang itu masih inginkan jawapan apa yang berlaku pada tarikh hitam berkenaan.

Untuk itu, menurut Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) Ismail Nasaruddin, pihak berkuasa perlu menunjukkan komitmen dalam meneruskan pencarian bagi mencari kotak hitam pesawat itu yang dilihat dapat merungkai segala persoalan yang timbul.

Menurutnya, rata-rata ahli keluarga masih tidak berpuas hati dengan penemuan bukti berkenaan berikutan ia masih tidak menjelaskan punca kejadian.

"Mereka tidak boleh terima dengan sepenuhnya sebab banyak lagi perkara yang mungkin mereka ingin tahu.

"Ia perkara yang berlainan dengan penemuan bukti tersebut tetapi apa yang berlaku itu juga mustahak bagi pihak keluarga.

"Ternyata di sini kotak hitam dan alam perakam data pesawat berkenaan harus dicari. Ini yang paling utama," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Mengenai penyaluran maklumat kepada ahli keluarga penumpang dan kru pesawat, tegasnya pihak MAS perlu memperbaik usaha komunikasi melibatkan sebarang penemuan baharu.

"Ada yang dihubungi, ada tidak dihubungi, ada yang dapat mesej, ada yang tidak terima dan mereka hanya tahu daripada media sahaja. Jadi ini yang menjadi masalah.

"Haruskah MAS lebih cepat daripada media atau sebaliknya? Itu soalan yang ditanyakan pihak keluarga," ujarnya lagi sambil menyifatkan pihak keluarga sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan menanti dengan penuh harapan untuk sebarang berita terkini mengenai MH370.