Keluarga pelajar tahfiz bunuh diri minta inkues

Keluarga pelajar tahfiz bunuh diri minta inkues
KOTA BHARU: Keluarga pelajar sekolah tahfiz yang mayatnya ditemui tergantung di tandas sekolah berkenaan pada Disember lalu memohon agar satu inkues dijalankan bagi menyiasat punca sebenar kematian pelajar berkenaan.

Bapa pelajar itu, Wan Abdul Rahman Wan Yaakob, 68, berkata inkues itu perlu diadakan kerana beliau yakin anaknya, Wan Ahmad Faris bukannya mati kerana membunuh diri.

"Saya yakin anak saya mati dibunuh berdasarkan kepada beberapa petunjuk dan inkues ini perlu diadakan untuk membersihkan nama arwah dan juga nama kami sebagai ibu bapanya," katanya beliau selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini, hari ini.

Beliau membuat laporan polis itu dengan ditemani oleh isterinya, Rohani Hussin, 59, dan peguam keluarga, Alias Ibrahim.

Pada 14 Disember lalu, mayat Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Maahad Tahfi Sains Nurul Aman, Kok Lanas ditemui tergantung dalam keadaan memakai baju dan berjaket.

Mayatnya ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama itu.
Hasil bedah siasat ke atas mayat itu yang dijalankan oleh pakar forensik mengklasifikasikan kejadian sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Polis yang menyiasat kes juga tidak menjumpai sebarang benda atau senjata berbahaya di tempat kejadian. Siasatan juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal pada tubuh mangsa yang menunjukkan adanya pergelutan atau diserang.

Wan Abdul Rahman berkata laporan polis pertam telah dibuat oleh pihak keluarga pada Januari lalu namun sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan tentang sebarang perkembangan lanjut.

Katanya, pihak beliau membuat laporan polis kali kedua kerana tidak percaya mangsa membunuh diri kerana Allahyarham merupakan pelajar yang tahu hukum-hakam agama serta hafaz al-Quran.

Ketika ditanya petunjuk atau asas yang mengatakan anaknya itu mati dibunuh, beliau berkata semua bukti berkenaan akan diterangkan dalam inkues itu nanti.