Satu program pemulihan dadah khas perlu dilaksanakan untuk ahli keluarga penagih dalam memastikan masalah sosial berkenaan dapat dibendung sewaktu di rumah lagi.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, kesedaran di peringkat ahli keluarga diperlukan supaya penagih tidak mengulangi perbuatan tidak bermoral itu selepas menjalani pemulihan.

"Saya perhatikan, jika kita tidak melaksanakan program pemulihan kepada keluarga, mungkin proses membendung atau memulihkan penagih ini sukar untuk dicapai.

"Sebab itu, saya lebih suka kalau program kaunseling kepada keluarga yang terbabit diteruskan, supaya masalah sosial ini dapat dikurangkan pada masa akan datang," titah baginda pada Majlis Makan Malam Amal Menjunjung Kasih 2018 anjuran Drugs Intervention Community (DIC) - KOMITED Malaysia di Bukit Gambang Resort di sini, malam tadi.

Tengku Abdullah bertitah, kerajaan negeri, polis, DIC-KOMITED Malaysia, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan agensi kerajaan lain boleh memikirkan cara yang sesuai bagi melaksanakan program pemulihan untuk keluarga ini.

"Masalah penagihan dan pengedaran dadah perlu ditangani dengan segera kerana ia penyumbang kepada perlakuan jenayah lain," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mahu masalah penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan tanah rancangan Felda di negeri ini ditangani dengan satu tindakan yang serius dan komited.

"Saya mahu peratusan penagih dadah di Felda dapat diturunkan, kerana setiap tahun saya diberi laporan oleh pihak polis mengenai masalah penagihan dadah di Felda yang agak serius dan semakin meningkat," titah baginda.