Keluarga J. Soosaimanicckam yang meninggal dunia ketika menjalani latihan sebagai pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut meminta Kementerian Kesihatan meneliti prosedur tidak wajar yang dilaksanakan oleh Hospital Seri Manjung dan Jabatan Kesihatan Perak.

Peguam Zaid Malek dan Mahajoth Singh yang mewakili keluarga mendiang Soosaimanicckam, dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, laporan bedah siasat akhir dan muktamad perlu dikeluarkan kepada keluarga si mati dengan segera.

"Pada 6 Sept, kami mengiringi Calvin, ahli keluarga Soosaimanicckam ke Hospital Seri Manjung, Perak, untuk berunding berhubung keengganan hospital untuk mengeluarkan laporan akhir bedah siasat kepada keluarga mendiang.

Bagaimanapun, pihak hospital enggan membenarkan kami mengiringi Calvin semasa rundingan. Kami dimaklumkan bahawa arahan ini dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr Noorisah Mahat Noor," kata para peguam itu dalam satu kenyataan.

Para peguam itu berkata pihak hospital diwakili oleh tujuh orang semasa rundingan tersebut dan mereka terdiri daripada Timbalan Pengarah Hospital Seri Manjung, pegawai perubatan yang menjalankan bedah siasat, beberapa doktor lain dan seorang doktor pakar dari Hospital Besar Ipoh.

"Namun mereka bertegas meminta Calvin menghadiri rundingan itu tanpa bantuan guaman sedangkan pihak hospital mempunyai pasukan profesional untuk mewakilinya.

"Akhirnya, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik diri daripada rundingan tersebut," katanya.

Bernama cuba mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Kesihatan Perak tetapi jabatan berkenaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Pada 13 Julai, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam satu kenyataan meminta TLDM menjalankan siasatan segera dan mengeluarkan laporan terperinci mengenai kematian Soosaimanicckam, 27 tahun, semasa menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei.

Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia jam 1.45 tengah hari pada 19 Mei di Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Sebelum itu, Soosaimanicckam mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada jam 12.20 tengah hari.


-- BERNAMA