Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas menyiasat ketidakpatuhan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam pelaksanaan projek pembinaan Kem Kongkoi di Jelebu, Negeri Sembilan.

Pengerusinya Datuk Seri Hasan Arifin menegaskan, PAC merumuskan bahawa jawatankuasa itu memandang serius terhadap ketidakpatuhan yang berlaku.

Ujarnya, berdasarkan mesyuarat pada 22 Mac lalu, ahli PAC membangkitkan isu seperti tiada kelulusan daripada Majlis Daerah Jelebu untuk pembinaan kem itu selain kualiti kerja pembinaan kem yang kurang memuaskan.

Malah, PAC turut meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh dan menyelaraskan peraturan kewangan dan pengurusan perolehan UPNM.

Selain itu, PAC menyarankan UPNM supaya menggunakan prosedur kewangan sedia ada selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan, manakala KPT perlu melihat semula semua peraturan dan tatacara kewangan universiti bagi menyelaras urusan kewangan universiti.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung pembentangan Laporan PAC Pengurusan Perolehan Universiti: UPNM di bawah KPT.

Tambahnya, selain penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas, PAC turut mengesyorkan supaya peranan Audit Dalaman di setiap universiti diperkukuhkan lagi bagi memastikan pelaksanaan pengurusan perolehan di universiti lebih teratur.