Pemandu bas pelancong yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kota Belud-Tuaran (Kampung Kelawat) pada petang Isnin dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, menurut polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah dilaporkan berkata, pegawai penyiasat yang pergi ke lokasi kejadian didakwa melihat pemandu berusia 33 tahun itu melemparkan sesuatu ke dalam longkang di kawasan itu.

"Pemeriksaan menemui satu beg kecil yang mengandungi instrumen untuk menyedut dadah syabu dan satu paket kecil lutsinar berisi kristal, dipercayai methamphetamine (syabu).

"Sampel air kencing dan darah pemandu telah diambil untuk tujuan (analisis) kimia/toksikologi," beliau dipetik berkata oleh Bernama.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.39 petang itu, enam daripada 18 penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Nexus Karambunai, Sepanggar ke Jeti Tazmahal di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud itu, mengalami kecederaan.

Pemandu bas juga dilaporkan cedera ringan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan.