Polis telah menahan pemandu bas milik Politeknik Sandakan yang terbabit dalam nahas jalan raya di Jalan Marak Parak yang menyebabkan lima penumpang maut, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kota Marudu.

"Pemandu bas ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan kepada media, pagi ini.

Menurut Izaan, dua mangsa yang maut iaitu Abdul Fattah Sallehudin, 3 bulan, dan Anni Gideon, 56, ditempatkan di bilik mayat Hospital Kota Marudu.

Manakala tiga lagi mangsa, Khaizul Safari, ditempatkan di bilik mayat Hospital Kota Belud dan Suzannie Stephen Galaut, 39, serta Esther Michelle Anak Gunben, 39, ditempatkan di bilik mayat Hospital Pitas.

Kejadian itu turut menyebabkan lapan orang penumpang mengalami kecederaan parah, 11 orang penumpang diletakkan di Zon Kuning dan 17 penumpang diletakkan di Zon Hijau.

Keadaan bas yang dinaiki 41 penumpang warga politeknik Sandakan dan ahli keluarga yang terbalik selepas terlibat kemalangan di Kota Marudu semalam.