Seorang pemandu treler yang disyaki mengakibatkan kemalangan sehingga menyebabkan empat beranak termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban, berdekatan Kampung Melayu Raya, Segamat petang semalam, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 41 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Segamat, Ahmad Shakib Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (ipd) Segamat pada jam 6.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Suprintendan Raub Selamat ketika dihubungi berkata, tahanan reman suspek sehingga Selasa ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, ujian air kencing terhadap suspek juga telah dijalankan dan didapati bebas pengaruh dadah.

Suspek yang ketika kejadian tidak membawa sebarang muatan juga tidak mempunyai apa-apa rekod lampau berkaitan jenayah dan hanya enam rekod membabitkan kesalahan lalu lintas.

Terdahulu, dalam kejadian sekitar 1.30 petang semalam, Astro AWANI melaporkan, kereta Honda Stream dinaiki lima beranak dirempuh sebuah treler yang tidak membawa sebarang muatan.

Ekoran itu, empat daripadanya termasuk seorang bayi maut ditempat kejadian.

Identiti pasangan suami isteri itu dikenali sebagai Nizam Daud, 51 tahun dan Nur Faizlin Jamaludin @ samsudin, 37 tahun serta dua anak mereka Nur Naqhia, 6 tahun dan Mohd Niyaz, 2 tahun.

Manakala seorang lagi anak mereka yang terselamat, Mohd Naqib, 9 tahun kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.