SELEPAS marah akibat diajak melakukan hubungan seks 'tiga serangkai' (threesome), seorang isteri telah menikam alat sulit teman wanita suaminya dengan sebilah pisau.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9 malam Ahad, mangsa yang berusia 34 tahun itu ditikam ketika berada dalam bilik tidur.

Insiden tersebut berlaku apabila suspek yang berusia 46 tahun mendapati suaminya, 28, seorang kelindan lori mempunyai hubungan sulit dengan seorang mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit, suspek telah berpura-pura kononnya memberi kebenaran kepada suaminya untuk membawa perempuan simpanannya pulang ke rumah.

Kata Stanley, sebaik kekasih gelap suaminya itu tiba di rumah, ketiga-tiga mereka berbual mesra sambil lelaki itu meminum arak.

“Mereka bertiga kemudian bersetuju untuk melakukan ‘threesome’ (hubungan seks bertiga) di dalam bilik yang hanya diterangi cahaya daripada televisyen sahaja,” katanya seperti dilapor Utusan Borneo.

Tidak lama kemudian, suspek keluar dari bilik dengan alasan mahu membuang air kecil.

Ketiadaan isterinya menyebabkan si suami mengambil peluang untuk melakukan hubungan seks dengan kekasihnya.

Namun, lelaki berkenaan berhenti daripada melakukannya kerana berasa tidak sedap hati lebih-lebih lagi selepas kekasihnya mengerang kesakitan.

“Mangsa mengerang sakit dan memberitahu suami suspek dia telah ditikam. Dalam masa yang sama, si suami nampak isterinya keluar dari bilik dan melarikan diri,” kata Stanley lagi dalam kenyataan.

Sejurus menyedari isterinya kelam-kabut melarikan diri, si suami segera keluar dan meminta bantuan abangnya yang berada di dapur untuk mengejar suspek.

Suspek akhirnya ditahan tidak jauh dari rumahnya sekitar pukul 9.30 malam.

Sementara itu, mangsa yang cedera ditikam dikejarkan ke hospital.

Hasil siasatan awal polis mendapati, punca kejadian dipercayai dendam dan cemburu.

“Suspek berasa panas hati dari mula lagi ketika si suami membawa mangsa datang ke bilik sewa mereka. Motif dipercayai dendam dan cemburu,” katanya.

Mangsa kini sedang menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.