Tempoh kemas kini maklumat pendapatan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanjutkan enam hari iaitu sehingga 31 Julai ini.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata ia melibatkan semua peminjam yang sepatutnya membuat bayaran balik dan masih mempunyai baki hutang PTPTN.

Selain maklumat pendapatan, peminjam PTPTN juga perlu mengemas kini maklumat penting lain termasuk alamat, nombor telefon dan e-mel serta maklumat pekerjaan, katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Wan Saiful sebelum ini dilaporkan berkata peminjam berkenaan perlu mengemas kini maklumat pendapatan selewat-lewatnya hari ini melalui www.ptptn.gov.my di ruangan 'Pengemaskinian Maklumat Pendapatan'.

Ini bagi membolehkan kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan manifesto pilihan raya yang menyentuh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

"Saya ingin mengingatkan kepada peminjam agar mengemas kini maklumat pendapatan yang sahih dan benar, dan boleh dibuktikan dengan dokumen sokongan apabila diminta," katanya.

Beliau berkata sekiranya peminjam PTPTN tidak mengemas kini maklumat dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan dianggap tidak berhasrat memohon penangguhan bayaran balik dan tidak akan dimasukkan dalam dasar baharu bayaran yang bakal dibuat.

-- BERNAMA