Penyenaraian Malaysia dalam senarai pemantauan manipulator mata wang berpotensi oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mungkin satu helah Washington untuk mencapai daya saing kadar tukaran asing yang bertujuan meningkatkan eksportnya, kata pakar dalam aspek itu.

Bagaimanapun, ia dijangka tidak memberi kesan ketara memandangkan negara ini memiliki dasar perdagangan yang baik, reputasi ekonomi, fleksibiliti kadar tukaran serta keseimbangan luaran yang besar, kata Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia-Pasifik, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Beliau berkata kelebihan eksport Malaysia tidak berasaskan kepada kadar apungan tetapi daya saing produk.

"Justeru itu, saya berpendapat ia tidak akan menjejaskan kedudukan ekonomi kita kerana bagi saya ia bersifat sementara, hakikatnya asas ekonomi dan kelebihan daya saing kita tidak ada kena-mengena dengan kadar tukaran," katanya kepada Bernama apabila ditanya mengenai perkara tersebut.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengatakan ekonomi negara tidak terjejas susulan tindakan AS tersebut.

"Mereka menggunakan senarai ini mungkin untuk melonjakkan eksport AS dan mengekang eksport dari negara-negara pesat membangun," katanya.

Malaysia adalah antara sembilan negara dalam senarai berkenaan, di samping China, Jerman, Itali, Ireland, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Vietnam. Penyenaraian itu adalah tanpa penalti serta-merta.

Jumlah negara dalam senarai pemantauan AS itu bertambah selepas Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin menurunkan had kelayakan. Negara dengan lebihan akaun semasa bersamaan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini disenaraikan, turun daripada tiga peratus sebelum ini.

Had lain lain termasuk campur tangan berterusan dalam pasaran bagi mata wang sebuah negara dan lebihan dagangan dengan AS sekurang-kurangnya AS$20 bilion. Negara yang memenuhi dua daripada tiga kriteria itu akan dimasukkan ke dalam senarai berkenaan.

Malaysia menepati dua daripada tiga kriteria tersebut dalam keadaan lebihan dagangan dua hala yang ketara berjumlah AS$27 bilion dan lebihan akaun semasa direalisasikan 2.1 peratus daripada KDNK.

Dalam laporan itu, Perbendaharaan AS berkata bank pusat Malaysia telah campur tangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam kedua-dua arah aliran pasaran tukaran asing.

Ia menganggarkan pada 2018, BNM menjual kira-kira AS$11 bilion dalam tukaran asing, yang bersamaan dengan 3.1 peratus daripada KDNK untuk mengekang penyusutan nilai ringgit.

Bagaimanapun, ia juga menyambut baik pengimbangan semula luaran Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Pihak berkuasa perlu meneruskan dasar yang sesuai untuk menyokong kesinambungan trend ini, termasuk dengan menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi dan telus selain memastikan perbelanjaan sosial mencukupi, yang dapat membantu meminimumkan simpanan awasan," katanya.

Pengimbangan semula luaran ini didorong oleh paras penggunaan dan pelaburan lebih tinggi, susulan penambahan simoanan negara pada tahun-tahun berikutnya. Pada 2008, simpanan negara kasar ialah 38 peratus daripada KDNK; menjelang 2018, ia susut 26 peratus daripada KDNK.

"Ini menunjukkan penggunaan dan pelaburan yang sangat aktif malah Jabatan Perbendaharaan AS nampaknya menasihati bahawa kerajaan Malaysia perlu meneruskan dasarnya untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dan telus serta memastikan perbelanjaan sosial mencukupi," kata Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Selain kemungkinan meningkatkan perbelanjaan sosial, beliau berkata kerajaan juga dijangka melaksanakan projek infrastruktur secara berterusan yang akan mendorong meminimumkan lebihan imbangan akaun semasa.

"Susulan itu, kita tidak perlu terlalu cemas sama ada ia akan mengakibatkan aliran keluar modal besar-besaran. Ia sebenarnya menunjukkan ringgit Malaysia berada di bawah nilai oleh itu ringgit seharusnya meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata imbangan lebihan akaun semasa Malaysia juga susut secara ketara kepada 2.1 peratus daripada KDNK tahun lepas berbanding 17.2 peratus daripada KDNK pada 2008, menunjukkan pengimbangan semula penting.

"Mungkin ringgit seharusnya meningkat memandangkan purata ringgit bagi setiap dolar AS sejak negara menamatkan tambatan mata wang pada Julai 2005 adalah RM3.5657," katanya.

-- BERNAMA