Proses kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2020/2021 akan diteruskan seperti biasa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di dalam satu kenyataan memaklumkan, permohonan masih dibuka sehingga 17 April 2020 melalui sistem UPUOnline.

"Tawaran dijangka dibuat pada 3 Jun 2020 untuk calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pada 18 Ogos 2020 bagi calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf.

"IPTA dijangka menerima kemasukan pelajar baharu tahun ini ke program asasi dan diploma termasuk Matrikulasi pada bulan Julai/Ogos 2020 dan Program Sarjana Muda pada Oktober 2020," jelas kenyataan itu.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan penundaan tarikh peperiksaan SPM dan STPM tahun ini ke suku pertama tahun 2021.

Lulusan peperiksaan itu kelak akan memasuki IPTA pada tahun hadapan bagi Sesi Akademik 2021/2022 yang dijangka pada bulan Julai/Ogos 2021.

Ia bagi program asasi dan diploma termasuk matrikulasi dan pada Oktober 2021 bagi program ijazah.