KUALA LUMPUR:Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pelajar antarabangsa institusi pengajian tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berperingkat mulai 1 Januari, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Beliau bagaimanapun berkata, kebenaran itu tidak termasuk pelajar dari United Kingdom (UK).

Noraini berkata, perkara tersebut mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kementeriannya mengemukakan cadangan berkenaan.

“Kesemua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPT awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan kembali secara berperingkat dan perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Noraini memaklumkan semua pelajar tempatan pula dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat bermula 1 Mac.

“Bagi pelajar dari zon merah, kemasukan adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan serta memastikan mereka bebas COVID-19.

“Keputusan bagi membenarkan kemasukan secara fizikal ini agar aktivit pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilakukan secara bersemuka dan atas talian.

“Bagi pelajar melibatkan IPT di Sabah dan Sarawak, ia adalah tetakluk kepada prosedur yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Noraini, keputusan tersebut selari dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara berada pada tahap optimum.

Beliau dalam masa sama berharap agar Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi sepanjang pelaksanaan aktiviti akademik bagi membudayakan norma baharu.

Bagi pelajar yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang beroperasi 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124 atau terus menghubungi IPT masing-masing.