Kematian bayi berusia empat bulan, Yusof Al-Baihaqi Zainal Abidin di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di Bukit Baru Melaka semalam, berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-paru dan bukan disebabkan tersedak susu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad selepas menerima laporan lengkap hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Melaka.

Beliau berkata, laporan itu diterima selepas bedah siasat dijalankan selama kira-kira lima jam yang berakhir sekitar 1.05 pagi tadi, selesai dilakukan ke atas bayi tersebut.

BACA: Hanya enam hari di taska, bayi maut dipercayai tersedak susu


Jelasnya, laporan perubatan itu juga mendapati, tiada sebarang unsur jenayah mahupun berpunca dari tersedak susu seperti didakwa sebelum ini.

Namun, pihak perubatan hospital masih meneliti rekod perubatan bayi tersebut untuk mengenal pasti sama ada bayi itu mempunyai sebarang masalah sejak lahir.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah jangkitan kuman pada paru-paru. Ini yang telah dikeluarkan doktor yang telah menjalankan bedah siasat daripada hospital Melaka.

“Jenazah bayi berkenaan telah diserahkan kepada kedua ibu bapanya dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan di negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bayi malang itu menurutnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat, Mahligai Bachok, Kelantan kira-kira 9.40 pagi tadi.


Tambahnya lagi, pihak polis juga akan merakam percakapan ibu bapa bayi tersebut yang merupakan anggota polis dan guru, bagi mengetahui sejarah kesihatan anak mereka itu.

Bagaimanapun, proses itu akan dijalankan selepas kedua-dua mereka pulang dari Kelantan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Astro AWANI semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu semasa di bawah jagaan sebuah taska di Bukit Baru, Melaka.

Bayi terbabit, meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari ketika menerima rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Melaka.