Polis mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kematian menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia kelmarin susulan rawatan gigi di Bangsar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, polis merakam percakapan mereka yang terdiri daripada kakitangan klinik gigi itu dan individu lain.

"Punca kematian masih belum dikenal pasti dan polis masih dalam proses mendapatkan laporan bedah siasat daripada hospital," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Amar Singh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

BACA: Siasatan kes kematian menantu TPM sedang dijalankan - Dr Subra

FOTO: Pengebumian Allahyarham Syed Alman Zain

Syed Alman Zain, 44, merupakan suami kepada anak sulung Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, 37.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik bersama seorang rakan pada kira-kira 6 petang Rabu untuk mendapatkan rawatan gigi sebelum tidak sedarkan diri.

Menurut seorang anggota keluarga, Allahyarham kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan meninggal dunia.

BACA: Jenazah menantu Ahmad Zahid, Syed Alman Zain dikebumikan

BACA: Pemimpin negara, selebriti ucap takziah