Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan tohmahan terdapat unsur sabotaj dalam kemalangan van membawa tahanan yang turut mengakibatkan kematian seorang suspek aktiviti keganasan di Bukit Beruntung, dekat sini, Jumaat lalu.

Menurutnya, kejadian yang menimpa seorang daripada lapan suspek yang ditahan di Perlis itu kerana terlibat dalam fahaman Salafi Jihadi itu hanya kemalangan biasa.

“Kejadian itu tiada unsur sabotaj. Kenderaan tersebut terbabas kerana tayar bahagian kanan van meletup sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Dalam kejadian itu bukan sahaja suspek, malah anggota kita turut terpelanting keluar daripada kenderaan. Bagaimanapun, suspek gagal diselamatkan,” kata Mohamad Fuzi dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Yayasan Pengaman Malaysia di sini hari ini.

BACA: Suspek Salafi Jihadi meninggal dunia terlibat kemalangan di Bukit Beruntung

Jumaat lalu, media melaporkan tujuh anggota polis cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kenderaan yang dinaiki mereka bersama empat Orang Kena Tahan (PKT) terbabas di kilometer 428.3, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Sungai Buloh.

Bagaimanapun, seorang suspek warga Perancis yang turut cedera dalam kemalangan itu dilaporkan meninggal dunia Ahad lalu ketika menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.