Kemelut pentadbiran negeri Sabah yang berlarutan selama enam bulan akhirnya terjawab selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak kesemua saman bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang menuntut jawatan itu.

Keputusan berkenaan sekali gus mengekalkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Hakim Datuk Yew Jin Kie membuat keputusan berkenaan tepat jam 4.10 petang tadi dengan menolak saman Musa dengan kos sebanyak RM30,000 yang perlu dibayar oleh pihak plaintif kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie yang masing-masing merupakan defendan pertama dan kedua.

Dalam keputusan perhakimannya, Jin Kie mengumumkan bahawa permohonan saman tersebut ditolak memandangkan Musa yang terlebih dahulu kehilangan majoriti apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak keluar parti dan menyebelahi Mohd Shafie.

Menurutnya, planitif yang menolak untuk meletak jawatan boleh dianggap sebagai mengosongkan jawatan berkenaan dan tiada ketetapan mandatori untuk membawa usul tidak percaya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuktikan Mohd Shafie hilang sokongan sebagai Ketua Menteri yang sah.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 29 kerusi DUN manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya yang terdiri daripada PKR dan DAP turut memenangi 29 kerusi, manakala baki dua lagi dimenangi oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Bagaimanapun, tampuk pentadbiran di Sabah berubah apabila enam ADUN daripada BN bertindak keluar parti pada 12 Mei lalu dan menyokong Mohd Shafie sebagai ketua pentadbiran di Sabah.

Mohd Shafie kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah dan melantik barisan Kabinet Negeri.