Semua pihak yang terlibat dalam kemelut Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) digesa tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kepentingan peneroka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berhujah, sekiranya kemelut ini tidak ditangani dengan baik ia berisiko merencatkan pelan strategik perniagaan FGV.

"Ia boleh menjejaskan usaha pembangunan industri kelapa sawit serta ramai yang terlibat dengan perusahaan dan perniagaan FGV ini," kata Razali ketika ditemubual Astro AWANI.

Beliau turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan serta usaha pemulihan yang sedang dijalankan.

"Pergeseran yang berlaku ini janganlah sampai kita terlupa kepada 'fundamental' atau asas FGV yang masih baik dan tumpuan harus terarah kepada perniagaan," tegas Razali.