Kemelut dalaman yang melanda MIC perlu ditangani dengan pembabitan pihak ketiga, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, masalah kepimpinan yang berlaku dalam komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak akan menemui persetujuan sekiranya ia diselesaikan di antara mereka.

“Saya rasa masalah ini patut diperbetul oleh orang luar daripada MIC. Kalau sesama mereka yang selesaikan, persetujuan tidak akan dapat dicapai.

“Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Ketika saya masih menjadi Perdana Menteri dulu pun berlaku juga konflik seperti ini,” katanya di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong selepas menghadiri majlis lawatan dan merasmikan peletakan plak FRIM sebagai Warisan Kebangsaan.

Menurut Dr. Mahathir, individu yang paling sesuai menjadi mediator atau orang tengah dalam menyelesaikan kemelut kepimpinan MIC ini adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan beliau adalah Pengerusi BN.

Ketika ditanya mengenai kesudian beliau untuk menjadi perantara, Dr. Mahathir berkata “Saya bukan lagi ahli politik. Saya hanya pengkritik.”

Dalam perkembangan terbaharu, para pemimpin MIC hari ini dilaporkan telah bersetuju agar pemilihan semula parti itu diadakan sebagai jalan penyelesaian krisis MIC.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua pemimpin MIC dengan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pemilihan bagi jawatan 3 Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.

Dalam surat bertarikh 5 Disember, 2014 ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tersebut dalam tempoh 90 hari.