Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri ke-11 yang lalu membuktikan kepercayaan rakyat kepada BN Sarawak masih utuh.

Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata, kemenangan itu membuktikan yang rakyat juga yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang telah membawa banyak kemajuan dan perubahan untuk Sarawak.

“Kemenangan besar ini membuktikan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional Sarawak dan memberi mandat yang besar kepada kepimpinan yang amat berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk terus memimpin negeri ini.

“Ini jelas menunjukkan majoriti rakyat Sarawak masih tetap berkeyakinan tinggi terhadap kredibiliti kerajaan Barisan Nasional untuk terus menerajui pentadbiran dan pembangunan negeri ini,” kata Abdul Taib dalam ucapannya di majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Sarawak ke 18 di Dun Sarawak pagi ini.

Taib juga menyatakan rasa syukur kerana pilihan raya negeri telah dilaksanakan dengan jayanya disamping rakyat tahu apa yang terbaik untuk diri mereka masing masing.

“Pilihan raya negeri kali ini juga menunjukkan kematangan rakyat kerana jelas mereka telah menolak sebarang bentuk politik yang boleh memecah belahkan masyarakat dan menggugat keharmonian yang sedia terjalin di negeri ini.

“Rakyat di negeri ini juga mahukan sebuah kerajaan yang dapat membela nasib dan masa hadapan mereka serta merancakkan pembangunan dan membawa kesejahteraan yang berterusan,” katanya lagi.

BN yang diterajui Adenan, melepasi sasaran untuk memenangi 70 kerusi yang disasarkan sebelum ini dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN itu.