KUALA LUMPUR :Kemenangan buat sementara waktu dalam Belanjawan 2021 seharusnya tidak dianggap sebagai kemenangan berterusan buat Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah sejauh mana Bersatu kukuh dan teguh menepis pelbagai ancaman terhadap parti itu.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir dengan majoriti kecil, sudah pasti keadaan tidak menentu terutamanya berkaitan keabsahaan kerajaan akan terus dipersoalkan.

“Itu harus kita akui hakikatnya, selagi tidak ada ruang yang lebih besar, angka itu berubah, selagi itulah keabsahan kerajaan ini akan terus dipersoalkan.

“Persepsi ke atas pentadbiran ini akan terus dimainkan sehingga mungkin menggugat apa sahaja agenda yang ingin dibawa,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambah beliau, keadaan tidak menentu seperti itu pastinya akan menjadi topik perbincangan pemimpin tertinggi Bersatu kerana ia bukan sahaja menjejaskan parti malah kerajaan dan rakyat juga.

“Barangkali apa yang harus dizahirkan adalah bagaimana untuk mengharungi keadaan ini bersama, sejauh mana politik ini dapat dibelakangkan buat sementara, apakah gencatan politik dapat dilakukan.

“Apakah akan akur kepada beberapa cadangan, apakah akan wujud kolaborasi silang dengan parti lain untuk pastikan keabsahan itu dapat dipertahankan sekurang-kurangnya untuk mengharungi pandemik COVID-19 dan pilihan raya kemudiannya,” ujarnya.