Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau yang baru, Mohd Azam Abd Samat menyifatkan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau sebagai satu kemenangan untuk memartabatkan hak rakyat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saf pimpinan dan jentera Parti PAS dan Pakatan Rakyat dan terutamanya kepada pengundi-pengundi DUN Sungai Limau yang memberikan kepercayaan untuk memimpin mereka".

Beliau berharap agar amanah yang diberi ini akan dapat ditunaikan sebaik mungkin dengan berkesan demi rakyat di Sungai Limau.

Mohd Azam memperoleh 12,069 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Dr Sohaimi Lazim yang hanya memperoleh 10,985 undi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata sasaran minimum majoriti yang diletakkan iaitu tidak kurang dari 500 berjaya menghasilkan majoriti yang agak baik iaitu 1,084.

"Saya meletakkan minimum majoriti itu kerana calon, Ustaz Azam ini merupakan kali pertama bertanding sama seperti Allahyarham Azizan Abd Razak yang bertanding pada 1995 dan menang dengan hanya majoriti 195 undi, maka disebabkan sebab itu saya letakkan sasaran itu," kata Mahfuz.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyusutan majoriti undi yang dimenangi pada kali ini adalah disebabkan 1,000 pengundi berdaftar di kawasan itu yang berada di luar kawasan tidak dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka itu.

"Kami mempunyai 3,666 pengundi yang berada di luar DUN Sungai Limau namun hanya 2,319 pengundi yang berkeupayaan untuk pulang dan di situ sahaja kami kehilangan 1,000 lebih majoriti undi. Sebab itu, kadar keluar mengundi merosot dari 89 peratus kepada 85.5 peratus," katanya lagi.

Beliau menggesa, SPR supaya mengambil pengajaran ini supaya melakukan pilihan raya pada hari cuti.

"Tanggungjawab SPR adalah untuk memastikan pengundi-pengundi mempunyai kesedaran untuk keluar mengundi," katanya lagi.